Saturday, November 1, 2008

JOTA 2008 - JOTA PENGAKAP DUNIA KE-51


Keratan Akhbar Sinar Harian Edisi Sinar @ Selangor & KL
1 November 2008 MS S21

PERSEKUTUAN PENGAKAP MALAYSIA DAERAH SUNGAI BESAR SERTAI
JAMBORI DI UDARA PENGAKAP DUNIA KE-51
The 51st World Scout Jamboree On The Air (JOTA)

Di kalangan pengguna radio amatur di seluruh dunia khususnya ahli pengakap sudah sedia maklum bahawa pada hujung minggu ketiga setiap bulan oktober akan diadakan program Jambori Di Udara (Jamboree On The Air – JOTA ) anjuran Pergerakan Pengakap Sedunia (World Organization Scout Movement – WOSM) yang beribu pejabat di Geneva, Switzerland. Demikian jelas Mohd Hussairy Sidek, Penolong Pesuruhjaya Daerah (Perhubungan) Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Daerah Sungai Besar merangkap Penyelaras Stesen JOTA 9M1CSB dalam menyertai aktiviti JOTA Pengakap Dunia Ke-51 kali ini yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bedena, Sungai Besar pada 18 dan 19 Oktober 2008 lalu.

Tambah beliau, Krew Kelana Komunikasi (Kelana Komunikasi) Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia bertindak sebagai penyelaras di peringkat nasional dan Kelab Radio Amatur Pengakap Sungai Besar (9M4CSB) bagi negeri Selangor khususnya di daerah Sabak Bernam dengan menggunakan isyarat khas 9 M 1 C S B – bersempena dengan 100 tahun pengakap di Malaysia. Kali ini, Encik Abdul Mutalib Omar (9M2SQL) dilantik sebagai ‘Station Master’ bagi stesen JOTA 9M1CSB. Program JOTA ini telah dirasmikan oleh Puan Hajah Salehar bte Yaakop, Pengetua Kanan SMK Seri Bedena manakala Perasmian Penutup disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Pengakap Daerah Sungai Besar, Y.B. Puan Noriah binti Kasnon, merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan ahli parlimen Sungai Besar.

Berbanding JOTA Malaysia Pertama dan JOTA APR Ke-4 yang telah diadakah pada mei dan ogos lalu, JOTA kali ini dianggap sangat berjaya kerana penyertaan yang membanggakan iaitu seramai 160 orang ahli pengakap daripada pelbagai peringkat umur iaitu dari sekolah rendah dan sekolah menengah sekitar daerah Sabak Bernam di samping berjaya menarik penyertaan pengakap dari Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM) Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak. Selain pengakap, ahli dari unit beruniform lain juga turut menyertai JOTA ini seperti Kadet Remaja Sekolah, Pandu Puteri, Puteri Islam, PBSM, Kadet JPA3 dan Kadet Bomba

Selain memberi pendedahan tentang perkembangan radio amatur, peserta turut dilatih tatacara berkomunikasi dan menggunakan radio amatur secara ‘simplex’ dalam kumpulan kecil sebelum berkomunikasi dengan pengakap dari stesen JOTA yang lain. Antara stesen JOTA yang berjaya dihubungi adalah 9M1CSZ – Stesen JOTA di Bukit Chincin, Genting Highlands, 9M4CMR(Johot – Muar), 9M1CSI (Johor – Segamat), 9M1CSN (Negeri Sembilan), 9M2PBP (Balik Pulau – P. Pinang), 9M1CSC (Pahang) dan 9M1CSR (Perlis). Bagi Stesen JOTA luar negara pula, stesen yang dapat dihubungi adalah YB0S – Stesen JOTA Ibu Pejabat Pramuka di Jakarta, YB5ZKZ (Padang), YC5ZJE (Paya Kumbuh), YC5ZJH (Solok) dan YC5ZJB(Bukit Tinggi), dan YF5ZZE (Batam). Kesemua stesen JOTA ini dihubungi melalui gelombang 7 Mhz, 14 Mhz dan 144 Mhz manakala melalui perisian Echolink – perantaraan internet – berjaya menghubungi stesen JOTA 9M4CBP di Kota Kinabalu, Sabah dan CE3BRA dari Chile.


Disediakan oleh :

MOHD HUSSAIRY BIN SIDEK
Penolong Peseruhjaya Daerah (Perhubungan)
PPM Daerah Sungai Besar
Merangkap
Penyelaras Kelab Radio Pengakap Sungai Besar (KERAP)
Callsign Kelab : 9M4CSB
Email : 9w2vvh@gmail.com
Web : http://www.9m4csb.blogspot.com/

No comments: