Saturday, November 1, 2008

JOTA 2008 - JOTA ASIA PASIFIK KE-4

Keratan Akhbar Sinar Harian Edisi Sinar @ Selangor & KL
9 Ogos 2008 MS S21

Keratan Akhbar Sinar Harian Edisi Sinar @ Selangor & KL
11 Ogos 2008 MS S29

JAMBORI DI UDARA RANTAU ASIA PASIFIK KE-4 2008
4th Asia Pasific Regional (APR) Jamboree On The Air (JOTA) 2008


“CQ, CQ, CQ JOTA, Di sini 9M1CSB (disebut ‘Nine Mike One Charlie Sierra Bravo’), Stesen JOTA Negeri Selangor, panggilan Over!”

Bagi yang kali pertama mendengarnya, kata-kata tersebut agak janggal bunyi sebutannya, tetapi bagi ahli pengakap yang menyertai JAMBORI DI UDARA RANTAU ASIA PASIFIK KE-4 pada 2 – 3 Ogos lalu bertempat di S.M.K. Sungai Besar, Sungai Besar, Selangor, sebutan sedemikian sudah menjadi kemestian apabila membuat panggilan kepada stesen JOTA lain dengan menggunakan peralatan radio amatur. Demikian jelas Mohd Hussairy Sidek, Penolong Pesuruhjaya Daerah (Perhubungan) Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Daerah Sungai Besar merangkap Penyelaras Stesen JOTA 9M1CSB dalam menyertai aktiviti APR JOTA kali ini yang dijalankan serentak di rantau Asia Pasifik.

Tambah beliau, untuk APR JOTA kali ini, Pengakap Negara Bangladesh menjadi pengelola bagi rantau Asia Pasifik manakala Krew Kelana Komunikasi (Kelana Komunikasi) Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia bertindak sebagai penyelaras di peringkat nasional dan Kelab Radio Amatur Pengakap Sungai Besar bagi negeri Selangor dengan menggunakan isyarat khas 9M1CSB – bersempena dengan 100 tahun pengakap di Malaysia. Bagi memastikan kelancaran stesen JOTA, Encik Abdullah bin Abd Samad (9M2DS) atau lebih mesra dipanggil Pak Dollah bertindak sebagai ‘Station Master’ bagi stesen JOTA 9M1CSB itu yang berkonsepkan rumah terbuka – peserta datang mengikut masa yang ditetapkan.

Berikutan kejayaan penganjuran JOTA Malaysia Pertama pada Mei lalu, sambutan daripada pemimpin dan ahli pengakap yang menyertai JOTA kali ini amat menggalakkan. Seramai 120 orang peserta terdiri daripada pemimpin dan ahli pengakap telah menyertai JOTA yang berlangsung selama dua hari tersebut. Lebih menarik lagi apabila terdapatnya penyertaan ahli dari unit beruniform lain iaitu ahli Tunas Kadet Remaja dan Persatuan Puteri Islam. Pasukan pengakap dari S.M.K. Dato’ Mustaffa, Pasir Panjang muncul sebagai penyertaan teramai dengan 49 ahli pengakap termasuk 10 pengakap kelana bagi sekolah menengah manakala S.K. Parit 4 Sungai Besar dengan penyertaan seramai 16 ahli pengakap bagi sekolah rendah.

Selain memberi pendedahan tentang perkembangan radio amatur, peserta turut dilatih tatacara berkomunikasi dan menggunakan radio amatur secara ‘simplex’ dalam kumpulan kecil sebelum mereka berpeluang berkomunikasi dengan menghubungi pengakap dari stesen JOTA yang lain. Melalui kaedah ini, peserta dapat berkomunikasi dan mengendalikan radio amatur dengan penuh keyakinan. Selain itu, peserta juga dapat belajar menggunakan isyarat Kod Morse (Morse Code) selain Kod Q (Q Code) iaitu bahasa kod yang sering digunakan dalam komunikasi radio amatur.

Antara stesen JOTA yang berjaya dihubungi adalah 9M1CSS – Stesen JOTA Negeri Sabah, 9M1CSW (WP Kuala Lumpur), 9M1SCJ (Johor – Johor Bahru), 9M1CSI (Johor – Segamat) dan 9M1CSP (Pulau Pinang). Bagi Stesen JOTA luar negara pula, stesen yang dapat dihubungi adalah BW0S – Stesen JOTA Taiwan dan selebihnya dari Indonesia iaitu YC0ZSF – Stesen JOTA Kepulauan Seribu, Sumetera Barat, YC5ZJL dan YB5ZKZ (Padang), YC5ZJE (Paya Kumbuh), YC5ZJH (Solo) dan YC8ZKD (Kendali, Sulawesi). Selain itu, beberapa stesen radio amatur turut dihubungi seperti 9W2APH, 9W2BBS, 9W2IBR, 9W2SIX, 9W2FRR, 9W2TGA dan BX4AN – Taiwan. Kesemua stesen JOTA dan radio amatur ini dihubungi melalui gelombang 7 Mhz, 14 Mhz dan 144 Mhz selain Internet dengan menggunakan perisian Echolink.

Bagi melengkapkan kalender JOTA tahun ini, Kelab Radio Amatur Sungai Besar merancang untuk menyertai Jambori Di Udara Pengakap Dunia Ke-51 (51st World Scout JOTA) pada 18 dan 19 Oktober 2008 nanti. Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti JOTA dan radio amatur bolehlah menghubungi Mohd Hussairy Sidek, Penyelaras Kelab Radio Amatur Pengakap Sungai Besar ditalian 019-2585759 atau email 9w2vvh@gmail.com dan laman web http://www.9m4csb.blogspot.com/ .

No comments: