Wednesday, August 18, 2010

JOTA Rantau Asia Pasifik Ke-6 2010



Seramai 300 pemimpin dan ahli pengakap dari Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Daerah Sungai Besar dan PPM Daerah Sabak Bernam telah menyertai Kemporee Pengakap Daerah yang julung-julung kali dilaksanakan melalui kerjasama kedua-dua daerah pengakap tersebut. Lebih bermakna apabila mereka turut dapat menyertai Jamboree Di Udara (Jamboree On The Air – JOTA) Rantau Asia Pasifik Ke-6 pada 6 – 8 Ogos 2010 lalu bertempat di Kem Seri Lang, SBPI Sabak Bernam. JOTA kali ini dikelolakan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia. Sebelum ini, JOTA dikelolakan oleh Pengakap Singapura, Bangladesh dan Jepun.

Program selama tiga hari dua malam tersebut dapat memberi peluang kepada para peserta menghubungi pengakap dari dalam dan luar negara menggunakan radio amatur semasa aktiviti JOTA.

Keunikan aktiviti JOTA kali ini adalah penggunaan “Kod-J (J-code)” semasa komunikasi dijalankan. Contohnya, peserta hanya perlu menyebut JWN (disebut Juliet wiskey November) yang membawa makna “nama saya…”. JFC (disebut Juliet Foxtrot Charlie) sebagai “saya dari negara…” Kod-J yang diperkenalkan oleh Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) ini digunakan di seluruh dunia untuk membantu peserta berkomunikasi dengan pengakap lain bagi mengatasi masalah bahasa yang berbeza. Demikian menurut Mohd Hussairy Sidek, Pengurus Stesen JOTA Selangor 1 – 9M4SJB.


Antara stesen JOTA yang dapat dihubungi adalah 9M4SJY – Stesen Ibu Pejabat PPM di Kuala Lumpur, 9M4SJZ – Hulu Selangor, Selangor; 9M4SJH – Balakong, Selangor; 9M4SJN – Port Dicksin, Negeri Sembilan; 9M4SJK – Sik, Kedah; 9M4SJQ – Bintulu, Sarawak, 9M4SJJ – Kulai Jaya, Johor, 9M4CJS – Johor Bahru, Johor, 9M4SJU – Muar, Johor, 9M4SJD – Kota Bharu, Kelantan; 9M4SJT – Seberang Takir, Terengganu dan 9M4SJC – Temerloh, Pahang manakala stesen JOTA antarabangsa seperti 9V1DE – Singapura, V85JAM – Brunei Darussalam dan Indonesia – YC5ZJH, YC5ZJE dan YB6ZKZ.


Tambah beliau, peserta juga berpeluang menyertai aktiviti yang dikenali sebagai “Fox Hunting”. Aktiviti ini menguji kecekapan peserta mengesan kedudukan alat pemancar (beacon) menggunakan antenna khas dan set radio mudah alih sebagai alat penerima isyarat. Di samping itu, peserta juga mempelajari cara dan prosedur menggunakan radio radio amatur dan kemahiran menggunakan alat Kod Morse (Morse Code) dengan menghantar isyarat kecemasan – SOS.

Secara keseluruhannya, aktiviti yang dijalankan sepanjang perkhemahan ini seperti JOTA, Sistem berpatrol, kemahiran penganggaran, kraftangan, ikatan dan simpulan, pionering, gadjet dan malam kebudayaan tersebut dapat meningkatkan disiplin diri, kemahiran berpengakap, menambah keyakinan diri dan meneroka potensi kepimpinan para peserta.

Perkhemahan ditutup rasmi oleh En. Zakiuddin bin Abd. Hamid, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Sabak Bernam. Beliau berkesempatan menghubungi stesen JOTA Pramuka Indonesia.

Disediakan oleh :

Mohd Hussairy Sidek

Penolong Pesuruhjaya (Perhubungan)
PPM Daerah Sungai Besar

No comments: